Birthday Arissa

Lilypie - Personal pictureLilypie First Birthday tickers Lilypie - Personal pictureLilypie Third Birthday tickers

Usia Rina

Lilypie - Personal pictureLilypie First Birthday tickers

Saturday, December 31, 2011

Dalam 'hari' (Pantang Bersalin)

Menu utama ibu hampir setiap hari - ikan harun

Beberapa jam lagi akan berakhir tempoh darurat ibu (pantang bersalin 44 hari). Hari ni adalah hari ke 44. Esok (Tahun baru 2012) ibu sudah merdeka.  Kata ibu hari-hari terakhir 'dalam hari' ni la kena jaga betul-betul. Takut bentan, takut meroyan dan macam-macam lagi.

Semoga ibu dan adik akan sentiasa sihat selepas ini. Ibu dah boleh makan macam-macam selepas ini. Dah boleh keluar rumah dan bawa Annisa dan adik berjalan.

Selamat Tahun Baru 2012.

Sunday, December 25, 2011

Demam, Dendam dan Dengki (3D)

Kakak dan adik

Usia Arissa (adik) dah sebulan 6 hari. Berat Arissa sekarang (sebulan) sudah 3.7 kg ketika timbang baru-baru ini di Klinik Kesihatan untuk suntikan sebulan. Minggu ini adalah minggu yang paling 'busy' buat ayah dan ibu. Kenapa? Sebab Annisa tak sihat..pakej sakit... demam, batuk dan selsema.. Dah 6 hari Annisa demam. Alhamdulillah, hari ni dah semakin sembuh. Bila demam, Annisa mula merengek, menangis, mahukan perhatian, susah nak tidur, muntah dan macam-macam karenahnya. Semua yang dibuat serba tak kena.

Tiap malam ayah dan ibu berjaga malam sebab baru je Annisa terlelap,dah jaga semula sebab batuk..kejap masuk buai, tak lama lepas tu, keluar buai pulak.. nak beriba atas ibu la.. nak dipeluk dan dipangku  la.. semua serba tak kena. Ayah dan ibu terpaksalah melayan Annisa..

Sihat...Arissa genap sebulan dah 3.7 kg
 Annisa juga sejak dua tiga hari ni makin kuat merajuk. Dah mula pandai berdengki dengan adik. Pantang je ibu dukung dan riba adik Arissa, Annisa akan datang dan mendekati ibu sambil menangis..minta untuk didukung juga. Dan bila ayah nak ambil dan dukung Annisa, Annisa tak mahu. Pening kepala ibu nak melayan dua orang puteri ni. Bila letak seorang, seorang lagi menangis..angkat si kakak, si adik pula menangis..

Mungkin sebab dah sebulan ni Annisa berdiam je, tak pandai tunjuk perasaan cemburu dan dengki kerana kurang perhatian dari ibu semenjak ada adik baru ni. Sekarang tiba la masanya tunjuk kan dendam pada ayah dan ibu. Tak boleh langsung tinggalkan adik keseorangan..takut kalau2 Annisa akan cubit adik..atau hantukkan kepalanya ke atas kepala adik (walau pun tunjuk sayang..nak cium adik).

Macam tu la perangai dan karenah budak2. Kena lah bersabar...Itu baru dua orang.. bayangkan kalau tiga...empat.. atau kembar.. hmm..boleh pecah kepala dibuatnya.. Macam tu la pengorbanan ibu dan ayah kita untuk membesarkan anak2.. bila sakit, mereka juga tak boleh tidur dibuatnya..terkenang sewaktu dulu... Terima kasih Abah dan Mak di atas pengorbanan mereka melayan dan membesarkan kami semua....

Monday, December 19, 2011

Usia Arissa sebulan, Annisa pandai jalan

Dah pandai berjalan
Dah seminggu Annisa 'dapat kaki'. Agak lewat juga Annisa dapat berjalan..ketika usia setahun lapan bulan (20 bulan) baru pandai berjalan. Orang lain ada yang pandai berjalan ketika usia seawal 11 bulan..atau setahun.. Tapi Syukurlah, akhirnya Annisa dah boleh berjalan...walaupun kekadang masih takut-takut lagi..

Tak pasti sama ada disebabkan daun seringai yang di pukul oleh Wan Ani kat kaki Annisa setiap pagi, itu yang membuatkan Annisa boleh berjalan..macam2 petua orang bagi dan cadangkan untuk cepat berjalan..ada yang kata pukul kaki dengan belut la... sapu kan kaki dengan darah belut la.. kaut tapak kaki dengan sudu la... jalan atas embun la...dan akhirnya Wan Ani dapatkan daun seringai dari kampung di Dong dan pukul kaki Annisa selama 3 hari serta bawa Annisa berjalan atas embun.

Kekadang ibu pun turut urut kaki dan lutut Annisa supaya kuat dan dapat berjalan dengan mudah dan cepat. Syukur Alhamdulillah, berkat usaha dan doa, Annisa dah boleh berjalan, walau kadangkala selalu jatuh.

Pipi dah semakin berisi
Adik Arissa pula dah sebulan usianya. Pipi, lengan, betis dan peha dah makin berisi nampaknya. Alhamdulillah, Arissa jarang kembung malam atau berjaga malam. Cuma Arissa tak suka di bedung.. suka sangat lepaskan tangan dari kain napkin, ala-ala free style. Esok 20 Dis, Annisa dan Arissa kena pi klinik kesihatan di Batu Satu untuk suntikan sebulan (Arissa) dan 1 tahun setengah ( Annisa). Harap2 semuanya ok..dan tak demam...Nasib baik la ayah balik Bentong semalam. Kalau tak, makin demam la Annisa..Lusa Tok dan Wan nak makan angin ke Mesir pulak. Tinggal la kami anak-beranak di Bentong bersama family Mak De.Kata ibu, ibu akan habis berpantang pada 31 Disember... menyambut tahun baru la nanti...



 

Wednesday, December 14, 2011

Ulang Tahun Perkahwinan ke 3 (13 Disember 2011)

Kehadiran suami dan dua orang puteri yang comel

Tanggal 13 Disember 2011, genap tiga tahun usia perkahwinan saya. Walaupun berkahwin pada usia yang lewat (33 tahun), saya bersyukur kerana telah bertemu jodoh pada usia tersebut. Pada fikiran saya, ketika itu kedudukan kewangan saya amat stabil, segala cita-cita saya telah tercapai dan apa yang saya hajati ( nak beli rumah dan kereta, menyandang jawatan regional marketing manager, menunaikan umrah, sambung belajar buat MBA, bawa family makan angin ke luar negara setiap tahun, menolong ibu bapa dan menolong membiayai perdidikan adik) telah saya kecapi dan tunaikan sebelum mengakhiri zaman bujang dan berkahwin. Malah, usia sebegini membuatkan kita matang untuk membuat keputusan sendiri.

Terkenang suatu ketika dahulu ..selepas diijab kabul kan di Bentong

Ajal maut, jodoh pertemuan di tangan Allah. Mudah-mudahan jodoh ini berkekalan hingga ke hujung nyawa. Tiada apa yang lebih membahagiakan melainkan kehadiran seorang suami dan kedua-dua orang puteri (Annisa Qaisara dan Arissa Qairina).

Kepada kawan-kawan di luar sana yang masih belum bertemu jodoh, usah terlalu runsing dan khuatir. Pasti ada hikmah yang telah dijanjikan oleh Allah dan pasti ada sebabnya. Usah bersedih dan usah putus asa. Berdoa dan berusaha lah agar anda bertemu jodoh. Sama ada anda berkahwin muda, cepat atau lambat, ia bukan faktor kebahagiaan seseorang.

Saturday, December 3, 2011

Kelahiran ARISSA QAIRINA -18.11.2011 (Jumaat)


Arissa Qairina setelah dibersihkan dan diqamatkan

Pagi Jumaat (18.11.2011) ibu mengadu sakit perut. Ketika itu hanya ibu dan Annisa berdua di rumah kerana ibu sudah mengambil cuti rehat awal menanti kelahiran adik baru Annisa. Ibu cuba menelefon ayah yang sedang bekerja, tapi telefon bimbit ayah tidak berangkat. 15 minit kemudian ayah menelefon ibu dan ibu menyuruh ayah balik dengan segera.

Ibu sempat mengemas baju ibu, baju 'baby' dan beberapa helai baju Annisa turut dibawa bersama sementara menanti ayah tiba ke rumah. Agak jauh juga tempat kerja ayah dengan rumah iaitu kira-kira 25 minit perjalanan. Sebaik tiba di rumah, ibu dan ayah membuat keputusan untuk membawa ibu yang sedang sakit ke Tey Maternity Specialist & Gynae Centre Muar.

Kalau diikutkan tarikh jangkaan bersalin yang diberi oleh Klinik Kesihatan Jementah, ibu dijangka bersalin pada tanggal 3 Disember. Namun ketika 'scan' di Pusat Perubatan Naluri di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, ibu dijangka akan menjalani pembedahan pada 25 November kerana bayi songsang dalam rahim ibu. Bukan rezeki adik nak jadi orang KL...akhirnya adik lahir di Johor...kod kelahiran 01 bagi negeri Johor , seperti Annisa juga.


Kehadiran pelajar2 UiTM (Islamic banking- degree) yang menceriakan dan meriuhkan keadaan

Keadaan amat cemas sepanjang sejam perjalanan dari Jementah ke pusat perubatan di Muar. Ibu kadangkala mengerang kesakitan.Annisa hanya mampu melihat ibu kesakitan. Kenderaan begitu banyak di jalanraya pada hari Jumaat tersebut. Ayah terpaksa mengikut belakang lori dan kereta. Jalan pula banyak selekoh dan bengkang-bengkok. Ayah mohon bantuan polis peronda dari Sagil dan Tangkak untuk menghantar ibu ke Muar, namun mereka tidak dapat menghulurkan bantuan.

Akhirnya hampir jam 1 tengahari, kami tiba di Tey Maternity Specialist Muar. Sebaik tiba di situ, ibu terus dimasukkan ke bilik pembedahan kerana adik baru Annisa hampir keluar. Namun disebabkan songsang dan bayi sudah terbelit tali pusat, ibu perlu dibedah.

Hari kedua hingga kelima di tahan di nursery dan dijemur kerana juandis (kuning)
 Tepat jam 1.52 petang, adik baru Annisa selamat dilahirkan melalui pembedahan. Kata ibu berat adik ialah 2.8 kg. Panjang/ tinggi adik adalah 52cm. Syukur Alhamdulillah, ibu selamat menjalani pembedahan dan adik baru Annisa juga selamat walaupun adik terkena jangkitan kuman kerana telah termakan najis dan terbelit tali pusat. Oleh kerana itu, adik terpaksa ditahan di wad selama 5 hari (Jumaat - Selasa).

Wan dan atuk tiba dari Bentong pada petang tersebut. Mak De Ita dan Pak De Hazali sekeluarga turut datang dari Bentong pada petang tu. Mereka tidur di hotel Classic yang terletak bersebelahan dengan pusat perubatan tersebut. Mereka gembira dengan kelahiran adik.

Akhirnya, setelah lima hari ditahan di wad, Arissa dibenarkan pulang
Hari Selasa (22 Nov) adik dibenarkan pulang. Kami dibawa oleh Tok Teh dan Wan Teh yang datang dari Raub untuk pulang ke Bentong kerana Wan dan Atuk telah ke Phnom Pehn (Kemboja). Agak jauh perjalanan kami pada hari tu. Perlu melalui beberapa negeri...Johor, Melaka, N.Sembilan, Selangor, K.L dan Pahang.... adik berjalan jauh...

Apa nama adik? Ibu dan ayah memilih nama adik dari Internet. Akhirnya adik Annisa telah didaftarkan dengan nama ARISSA QAIRINA BINTI ANUAR. Maknanya, Arissa (Azam, kuat) Qairina (Kebaikan).

A - Amanah
R - Realistik
I   - Intelektual
S - Setia
S - Suci
A - Adil
Q - Qualiti
A - Abadi
I - Ikhlas
R - Ramah
I - Indah
N - Naif
A- Anggun

Thursday, October 20, 2011

Makan angin ..Bukit Gambang


Ketika genap usia Annisa setahun lima bulan (September 2011), ibu berkesempatan membawa Annisa ke Kuantan. Kali ini kami menginap di Bukit Gambang Resort. Itu pun kerana ibu mendapat undangan istimewa untuk menghadiri hari keluarga company lama ibu di Kuantan, serta meraikan majlis perpisahan bos lama tempat kerja ibu dulu.

Annisa kesejukan sebab berendam di dalam air taman tema Bukit Gambang

Tempat ini memang seronok untuk percutian keluarga. Kalau ramai ahli keluarga yang datang, memang lagi best. Ada macam2 permainan air yang disediakan di taman tema air yang disediakan. Tapi Annisa masih takut nak mandi kat swimming pool ini... penat ayah melayan Annisa....akhirnya, berkepit dan dukung je dengan ayah.


Bilik yang luas dan katil yang besar...selesa untuk tiga beranak..
Tempat penginapan dan makanan di hotel pun menarik. Bilik pun besar. Macam2 makanan disediakan sewaktu breakfast. Tapi bila dah sudah mandi di swimming pool, Annisa kelaparan. Ibu bagi makan maggi ayam yang direndam dalam cawan, ketika dalam bilik hotel..Petang tu kami pulang ke Segamat.

Raya Aidilfitri 2011

Orang lain baca Yassin, Annisa baca paper
Tahun ini Annisa menyambut hari raya Aidilfitri di kampung sebelah ibu. Mula2 beraya di Dong, Raub. Selepas itu di Bentong. Dan raya ke empat, Annisa ikut beraya di kampung sebelah atuk Sahari di Sitiawan, Perak. Raya sakan tahun ini... banyak jugak la angpau yang Annisa dapat.

Pertama kali menziarah tanah perkuburan

Raya tahun ini amat bermakna sebab pada pagi raya pertama, Annisa dibawa oleh ibu dan ayah menziarah kubur arwah moyang Rokiah di Dong. Ini kali pertama Annisa menziarah tanah perkuburan dan kubur moyang. Annisa sempat berjumpa dengan arwah moyang semasa Annisa masih kecil (dalam pantang). Dan sebaik sahaja lepas pantang, arwah moyang pergi meninggalkan kami buat selama2nya. Mungkin doa ibu Annisa yang mahukan moyang melihat Annisa terlebih dahulu sebelum meninggalkan alam fana ini, walau pun ketika itu moyang agak lemah dan sakit. Sekurang2nya Annisa dapat bergambar kenangan dengan moyang, dan didukung oleh moyang...

Baju kurung merah yang dibeli oleh ayah

Raya tahun ini ibu belikan sepasang baju kurung warna biru (tema baju raya tahun ini) dan ayah belikan sepasang baju kurung warna merah. Kasut pun banyak dibeli oleh ibu dan ayah..walaupun Annisa belum pandai jalan lagi.

Gembira dapat angpow dari atuk dan wan
Yang bestnya, ibu turut belikan tudung untuk Annisa. Kata ibu, jadi anak yang solehah... Mudah-mudahan, berkat doa ibu dan ayah, Annisa akan menjadi anak yang baik dan solehah.

Sunday, July 31, 2011

Mandi Laut dan Mandi Kolam


PENGKALAN BALAK, MELAKA

Main pasir di tepi pantai Pengkalan Balak
 Ketika pertama kali datang ke Pengkalan Balak dulu ketika hari Ibu, Annisa sangat takut untuk mandi di laut. Kali kedua datang ketika hari Bapa, Annisa semakin berani. Mungkin sebab dah ada pelampung baru...
Mula-mula takut...
 Tapi  tak lama mandi laut sebab Annisa terminum air laut yang masin. Mula la dia menangis...
Air Kelapa yang menyegarkan..
 Mudah-mudahan, lepas ni Annisa semakin berani mandi air sejuk dan air laut....

CHERATING, PAHANG
Bersama family Kak Alesya di kolam resort
 Terlanjur ada jemputan kenduri kahwin anak saudara Atuk Sahari di Kuantan, kami terus ke Cherating selepas majlis. Masa kenduri tu pelajar2 sekolah sibuk dengan larian satu Malaysia.. Di Cherating, kami tinggal di Santuary Resort, di Sg Ular kerana kebanyakan hotel dan resort di Cherating dah penuh. Maklum la, last minute booking...
Mula-mula menangis kena air sejuk

 Kami tinggal di Apartment dua bilik, sebab nak ambil Apartment tiga bilik pun dah penuh. Wah, seronok betul Annisa dapat bermalam di hotel. Tambahan pula, ada ramai yang turut serta. Atuk, Wan, Mak De Ita sekeluarga pun turut sama. Memang meriah betul....
Hari Kedua di Cherating, mandi laut pula
 Hari Pertama, pada sebelah petang, Annisa mandi kolam dengan ayah serta Kak Long ALesya, Kak Ngah Mina dan Adani. Keesokannya, baru la Annisa dapat mandi laut... Ayah sibuk dengan pancingnya, tapi tak dapat seekor ikan pun...
Makan ikan goreng tepung dan keropok lekor
 Pada sebelah malam hari pertama, kami sempat ke Kuala Kemaman untuk menikmati Otak-otak dan Satah Kuala Kemaman. Memang berbeza rasa ikannya kalau dibandingkan dengan otak-otak negeri Johor. Kat sini, isi ikannya segar dan tak banyak guna tepung.. memang delicious....

Santapan Otak-otak dan satah Pak Aziz Satar yang enak di Kuala Kemaman

Dah ok la tu..dah boleh dibiarkan sendiri

 Hari kedua, lepas check out, kami masing2 bertolak pulang ke Segamat dan Bentong..Kononnya nak singgah Kuantan, tapi tak berkesempatan. Dan pada petang tu juga, kami terpaksa batal plan balik ke Segamat, kerana kereta Alphard Mak De ada problem di hiway..terpaksa kami berpatah balik, dan hantar family Mak De ke Bentong...

Kenangan yang cukup indah buat Annisa kerana semakin berani mandi kolam dan air laut....

Monday, June 27, 2011

Makan Angin ke Pantai Timur- Kuantan


Baru-baru ini, Annisa dibawa oleh ayah dan ibu ke Kuantan. Kononnya ibu nak melawat kawan ibu yang sakit akibat barah payudara, namun auntie tu berada di Kuala Lumpur pula.


Ronda-ronda di East Coast Mall Kuantan
Kebetulan masa tu ketika cuti sekolah, jadi kebanyakan hotel di Kuantan penuh. Nasib baik, ada satu bilik hotel di Jalan Teluk Sisek yang kosong kerana tempahan dibatal di saat-saat akhir oleh pengunjung tersebut.

Annisa sempat singgah di gerai PAK SOH yang menjual keropok lekor, otak2 dan satah. Agak ramai orang yang datang ke sini. Dan makanan di sini memang sedap.
Makan nasi ayam di Taman Gelora

Petang tu, Annisa di bawa oleh ibu ke East Coast Mall di bandar Kuantan untuk membeli beberapa pasang baju di Parkson. Dan pada sebelah malamnya, ayah Annisa sibuk memancing. Tinggal la Annisa dengan ibu di bilik hotel. Dan malam tu jugak, Annisa jatuh katil..nasib baik tak benjol  sangat sebab ibu cepat2 sapukan dengan air yang telah dicaj dengan loket /pendant Quantum Science.Mungkin kerana Annisa dah pandai merangkak, ibu lupa..dan letak Annisa di atas katil...

Keesokannya selepas 'check out', kami ke Taman Gelora untuk menikmati rojak ayam dan nasi ayam yang paling best di Kuantan. Selepas makan, kami pulang ke Segamat. Tiba di Segamat jam 5 petang. Seronok, tapi meletihkan..Jauh berjalan, luas pandangan...

Angin segar di Taman Gelora ,Kuantan


Wednesday, May 11, 2011

Pembedahan Mata Annisa - 21 April 2011

Beberapa minit sebelum menjalani pembedahan mata
Alhamdulillah,Annisa telah selesai dan selamat menjalani pembedahan mata bagi mengeluarkan cataract@selaput mata serta menambah kanta mata baru di mata kanan Annisa. Annisa terpaksa berpuasa 4 jam sebelum pembedahan yang dijadualkan jam 11 pagi. Awal pagi sebelum jam 7 pagi, Annisa dah disuap bubur nasi oleh ibu. Bertolak dari Bentong jam 8.30 pagi. Pembedahan berlangsung dari jam 11 pagi sehingga 1 petang. Walaupun jangkaan doktor hanya sejam, namun ada masalah komplikasi semasa pembedahan dijalankan dan ianya terpaksa dilanjutkan.
Sejam selepas keluar dari dewan pembedahan
Amat mendebarkan dan membimbangkan ketika menunggu Annisa menjalani pembedahan. Apatah lagi, selepas sejam pembedahan, Annisa masih belum keluar. Sebelum pembedahan, ibu terpaksa menukar baju yang disediakan oleh hospital untuk masuk ke dewan bedah, menghantar Annisa sehingga diberi gas supaya tidak sedar. Dan sebaik sahaja dimaklumkan Annisa selesai menjalani pembedahan, dan ANnisa telah sedar, ibu bergegas ke dewan bedah semula. Rupa2nya Annisa dah lama menangis. Mungkin juga sakit ? Dan mungkin sebab tidak selesa mata ditutup.. dan mungkin juga mencari ibu...
Atuk Sahari, Wan Noraini dan Kak Ngah Mina yang setia menemani di hospital
Ayah, Wan , Atuk dan kak Ngah Mina sedang menunggu di wad. Agak suspen juga mereka kerana lama menunggu Annisa yang direhatkan di bilik bedah sehingga betul2 stabil setelah disahkan oleh pakar bius. Sebaik dihantar ke wad, Annisa kena tunggu sehingga 5 jam, baru lah boleh keluar hospital dan pulang ke Bentong.

Semalaman dan sehari suntuk Annisa terpaksa memakai penutup mata. Itu yang membuatkan Annisa rimas, dan tidak selesa. Nasib baik ANnisa bukan seorang yang agak lasak, jadi dapat dikawal juga pergerakan Annisa, walaupun kadangkala Annisa cuba untuk menarik penutup mata tersebut.

Keesokan harinya, Annisa dihantar semula oleh Atuk dan Wan ke Hospital Pakar Mata TUn Hussein Onn ini untuk mencuci dan pemeriksaan mata oleh Dr Zainal. Terima kasih Dr Zainal kerana telah mengetuai pembedahan ini dengan jayanya.

Kesan dari pembedahan ini, Annisa tidak boleh kena silau, habuk, air masuk ke mata, angin yang kuat, menggosok mata kanan. Mata Annisa juga perlu diletakkan ubat setiap 4 jam. Kesian juga melihat Annisa menangis ketika makan ubat dan letak 3 jenis ubat di mata kanan. Tapi, apa kan daya...

Mudah-mudahan penglihatan Annisa semakin jelas dan baik. Yang menggembirakan ibu ialah dua hari selepas pembedahan, Annisa sudah boleh duduk sendiri tanpa perlu disokong. Menurut kata Dr Zainal, mungkin ini antara kesan positif keseimbangan badan selepas menjalani pembedahan mata ini. Syukur padaMu Allah.

Terima kasih kepada Atuk, Wan, Kak Ngah Mina yang sudi menemani dan menghantar Annisa ke hospital. Serta terima kasih kepada Auntie Sherrie from Prudential yang datang melawat dan bawa toy Fisher Price.

Tuesday, April 19, 2011

Setahun Genap Usia Annisa (9 April 2011)

Happy Birthday buat Atuk Sahari yang menyambut birthday ke 65 pada 21 April.

Joint Venture potong kek sama-sama

Baju yang di sponsor oleh atuk...trip dari Ho Chi Minh

Selamat Ulang Tahun Pertama Annisa Qaisara

Setahun yang lalu, jam 4.09 petang, Annisa dilahirkan. Dan kini, usianya genap setahun.
Pejam celik, pejam celik, dah setahun rupanya. Begitu cepat sekali masa berlalu.

Tanggal 9 April 2011, bertempat di Bentong, kami adakan kenduri kesyukuran untuk adik, Nita kerana tamat belajar degree dari OUM, naik gaji dan pangkat di samping menyambut ulang tahun setahun Annisa Qaisara.

Ramai juga saudara-mara yang hadir. Menu hari tu ialah nasi tomato... dan yang paling best, pesta durian (2 bakul) dari Raub pada sebelah petang. Itu acara yang dinanti-nantikan.. malam nya masing2 kepanasan sebab terlebih makan durian.

Doa ibu untuk Annisa Qaisara, semoga sentiasa sihat, panjang umur, jadi anak yang baik dan mendengar kata ayah ibu serta dilindungi Allah selalu. Amin..

Friday, April 15, 2011

Pembedahan Mata (Eyes Surgery)



Dalam kesibukan menghadiri kelas dan melayan segala masalah pelajar, pemarkahan ujian 2, presentation, serta tugasan pelajar di minggu terakhir di semester Jan-April 2011 ini, saya agak tertekan dengan masalah mata yang dihadapi oleh Annisa. Ketika usia Annisa sekitar 4-5 bulan, baru kami sedar dan perasan, Annisa mempunyai masalah mata sebelah kanan

Contoh mata yang mengalami selaput akibat Rubella Sindrom: Sumber Wikipedia


Seperti kata Dr Zainal dari Hospital Pakar Mata Tun Hussien Onn KL, Annisa mengalami juling choc fudge (kejap ada, kejap tak ada). Ianya berpunca dari masalah selaput mata atau eye cataracts. Itulah yang boleh menyebabkan bayi juling, kerana penglihatan bayi kurang jelas, samar dan terhalang. Lalu bayi akan menggunakan mata yang sebelah lagi yang normal untuk membantunya melihat.

Bagi kita yang jarang mendengar kes seperti ini, ianya akan menjadi suatu kehairanan dan kejutan. Bila di tanya kepada Pakar Mata, sudah tentu lah jawab mereka, ianya suatu kejadian yang sangat biasa dan normal kerana setiap hari mereka akan menghadapi pelbagai jenis penyakit mata dan pesakit dari berbagai peringkat umur dari bayi seusia sehari sehingga la orang dewasa atau warga emas.

Kalau diikutkan hati, mau saja saya tangguhkan sehingga berakhirnya peperiksaan semester Jan-April yang akan berlangsung dari 20 April hingga 1 Mei 2011 (Pelajar Diploma). Namun, apakan daya, memandangkan keadaan Annisa yang semakin tidak selesa, saya perlu percepatkan tarikh pembedahan tersebut.

Beberapa jam yang lalu Dr Zainal dari Hospital Pakar Mata Tun Hussein Onn  menelefon untuk mengesahkan tarikh pembedahan mata yang bakal dijalankan ke atas Annisa Qaisara. Setelah berfikir panjang yang tiada kesudahannya dan beberapa kali menangguhkan pembedahan tersebut, akhirnya saya bersetuju untuk membenarkan pembedahan mata sebelah kanan yang bakal dilakukan pada 21 April 2011( hari ulangtahun Atuk Sahari).

Kali terakhir pemeriksaan mata dilakukan ke atas Annisa pada 26 Februari yang lepas. Dr Zainal cadangkan supaya pembedahan tersebut dilakukan secepat mungkin bagi membuang selaput mata  or eyes cataract serta menukar kanta mata Annisa. Tetapi beberapa kali telah ditangguhkan dengan harapan ianya akan hilang dan kerana kesiankan si Kecil. Namun ternyata, ianya tidak membantu si Kecil. Mata Annisa semakin tidak selesa dengan selaput dalam matanya.Walaupun beliau tak menangis atau meragam, tapi beliau kerap menggosokkan mata kanannya seakan tidak selesa. Kalau la beliau pandai bercakap, sudah tentu Annisa akan mengadu....

Apa kesannya jika selaput mata ini tidak dibuang? Ia mungkin boleh menyebabkan pesakit rabun dan seterusnya buta. Apa Puncanya? Dan kenapa terjadi kepada bayi sejak lahir atau sejak hazali lagi.. ?

Antara sebabnya ialah, bayi tidak cukup bulan, atau kesan dari suntikan rubella, atau juga kesan daripada pendedahan radiasi, atau kesan dari pengambilan ubat-ubatan serta faktor keturunan.  Dan mungkin juga, itulah yang telah ditakdirkan oleh Yang Maha Esa.

Mudah-mudahan keputusan yang diambil ini adalah yang tepat dan yang terbaik buat si kecil Annisa.


 " Ya Allah, Kau lindungilah anak kecil ini Ya Allah. Berilah kesihatan yang baik kepada Annisa Qaisara sebelum dan selepas pembedahan ini. Permudahkan segala urusan dan mudah-mudahan pembedahan ini berjalan lancar dan berjaya tanpa sebarang komplikasi. Semoga Annisa cepat sembuh dan jelas penglihatannya". Amin


Wednesday, April 6, 2011

Makan Angin di JB lagi..


Annisa suka sangat kalau dapat duduk hotel.
Ketika cuti sekolah bulan Mac yang lalu , Annisa berkesempatan lagi ke Johor Bahru. Dalam masa dua minggu je dah dua kali Annisa dibawa oleh Ibu dan Ayah ke Johor Bahru atas urusan kerja. Tapi kali ni lebih menarik dan meriah kerana ditemani oleh family Kak Aleesya, Mina dan Rini serta Wan.
Pemandangan kota Singapura (Sembawang) dan Selat Melaka dari bilik hotel
Wow, dari tingkap bilik hotel boleh nampak pemandangan kota Singapura.. Kata ibu, tunggu Annisa besar sikit nanti, boleh la melawat uncle Latif di Singapura atau berjalan ke Universal Studio Singapore. Annisa juga sempat menziarah kawan Wan di Jalan Pelangi, Johor Bahru.
Kali ini Annisa berpeluang mandi kolam dengan Ayah
Pertama kali Annisa di bawa Ayah untuk mandi kolam. Hmm... nampaknya Annisa ni penakut air sejuk... pertama kali masuk kolam, dah menangis. Mula la hidung pun berhingus. Kak Mina dan Kak Aleesya suka sangat dapat mandi kolam... sampai terketar-ketar dan menggigil kesejukan.
First time masuk kolam, menangis la pulak...

Percutian di Selesa Hotel, Johor Bahru  bersama Wan dan family Kak Aleesya

Percutian dua hari satu malam ni menyeronokkan. Cuma Annisa tak sempat ke Bazar Malam JB sebab masa tu semua sepupu Annisa dah tidur awal kepenatan travel dari Segamat ke JB. Apa-apa pun, ketemu lagi JB di lain masa...


Pesanan Buat Anakku:
Nabi mengingatkan: "Keredhaan Allah itu bergantung pada keredhaan ibu bapa mu dan kemurkaan Allah juga bergantung pada kemurkaan ibu bapamu".

Pengajaran: Apabila seorang ibu redha kepada anaknya, Allah juga redha kepadanya. Sebaliknya, apabila ibu tersinggung dan merasa sakit hati kepada anaknya, Allah membencinya dan  menganggapnya anak yang derhaka.

Sebelas (11) Bulan

Annisa sudah mula pandai duduk sendiri tanpa dipegang

Genap usia Annisa Qaisara sebelas bulan. Annisa sudah boleh menyebut 'cat'. Itu lah haiwan kesayangan (wonderpet) Annisa. Ada masanya bila melihat mata kucing ini menyala-nyala, Annisa akan lari dan mengelak. Tapi dalam takut-takut tu, ada keinginan juga nak pegang kucing ini..
Wonder Pet-- anak kucing kesayangan....

Sehingga ke hari ini, apa yang dapat diperhatikan, Annisa bukan jenis yang hyperaktif atau lasak. Jarang barang mainannya di baling atau buang atau dirosakkan.

Malah, asyik kena buli je kalau tinggal di rumah pengasuh.Dan kalau jumpa sepupu-sepupunya, Raeesa dan Adani, confirm Annisa kena buli jugak. Bukan jenis melawan balik atau jenis terjah je tak makan saman.. Mungkin ini lah karektor Annisa yang sebenar.. lemah lembut dan berhalus orang nya.. Sebab itu ibu dan ayah Annisa senang bawa Annisa berjalan ke mana-mana...

Sambutan ulangtahun ke 11 bulan di KFC Segamat
Waktu makan pun senang jugak. Annisa boleh duduk diam dan senang diberi makan. Tak susah macam anak orang lain, sampai mak ayah berkejar nak suap bagi makan, atau kena pegang tangannya takut tumpah.
Makan aiskrim dan nasi ayam di KFC
Favorite Annisa ialah nasi ayam dan sup ayam.. Selain tu, air soya bean dan aiskrim. Pantang nampak, mesti nak. Kalau aiskrim habis, kekadang menangis dan merajuk. Tapi tak lama, bila tukar topik, Annisa ok, tak menangis lagi.. Cuma walau pun kerap makan, berat Annisa baru naik sikit dan sekarang 6.7kg. Terpaksa jumpa pakar zat pemakanan untuk mendengar berkenaan jadual pemakanan seimbang.. Asalkan Annisa sihat, itu sudah baik. Syukur Allah kerana diberikan kesihatan yang baik untuk Annisa...

Pesanan untuk Anakku:
Abu Hurairah berkata, "Seseorang menemui Nabi Muhammad dan bertanya, "Ya Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak aku patuhi? Nabi menjawab, "Ibumu". Orang itu bertanya lagi, "Selepas itu, siapa pula?" Nabi menjawab "Ibumu". Orang itu terus bertanya, "Kemudian, siapa lagi?" Buat kali ketiga, Nabi menjawab, "Ibumu". Orang itu bertanya lagi, "Kemudian, siapa pula?" Nabi menjawab, "Bapamu". (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Pengajaran: Nabi menjawab 'ibumu' hingga tiga kali dan selepas itu barulah nabi menjawab 'bapamu'. Ini menunjukkan tinggi dan mulianya kedudukan ibu berbanding kedudukan bapa.